PETALING JAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berada di ambang perpecahan seperti yang disebarkan sesetengah pihak.
Naib Presidennya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan isu berkenaan tidak pernah timbul semasa atau selepas pemilihan parti itu baru-baru ini.
**media[2874266]**
“Sebelum ini tak ada perpecahan, apa yang paling penting adalah untuk kita bersama-sama kepimpinan yang baru menyusun dalam tempoh yang ada ini untuk memastikan parti kukuh sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya kepada media selepas pengumuman Keputusan rasmi pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2024-2027 pada Isnin.
Jelasnya apa yang amat penting, mandat yang diberikan untuk jawatan Naib Presiden itu akan digunakan sebaiknya untuk mengemudi parti itu menjadi lebih baik dan relevan untuk rakyat Malaysia.
“Pemilihan ini telah berjalan dan teratur dan kita mahu terus kukuhkan parti dalam perjuangan dan akan terus fokus ke hadapan untuk terus dekat di hati rakyat.
Mengulas lanjut berkenaan tindakan ahli Bersatu yang tidak berpuas hati dan keluar dari parti itu baru-baru ini, beliau mengambil maklum apa yang berlaku dan akan cuba sebaik mungkin untuk mengembalikan kekuatan Bersatu sebelum pemilihan ini dan menambah kekuatan parti itu selepas pemilihan ini.
“Pemilihan ini memberi ruang kepada ahli-ahli kita membuat pilihan dan mereka telah membuat pilihan
Apa yang paling penting adalah untuk parti terus bergerak ke hadapan dengan lebih kuat,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Mohd Hanafiah Hamzah menyifatkan kemenangan yang diperoleh bukti bahawa Bersatu memberi peluang kepada ahli untuk membuat pemilihan pemimpin bagi mengemudi barisan hadapan parti itu.
**media[2874265]**
Menurutnya, meskipun kalah bertanding di peringkat bahagian namun itu tidak bermaksud sumbangannya tidak diperlukan di peringkat tertinggi.
“Yang menang tak menang semua dan tak kalah tak kalah semua. Paling penting selepas ni saya dapatkan membantu untuk memperkuatkan parti bagi menghadapi pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang,” katanya.